Saturday 2 July 2011


Sahsiah peribadi dan senyuman yang sering terukir diwajah Imam Muda, Hassan Adli Yahaya, berjaya memikat hati mursyid-mursyid juri untuk menobatkannya sebagai juara Imam Muda musim kedua.

Mudir program tersebut, Datuk Hassan Mahmood berkata, Hassan pernah dua kali dipilih sebagai pelajar contoh di sepanjang sembilan minggu program itu berlangsung dan turut mengakui tabiaat juara Imam Muda itu yang selalu tersenyum turut memberi kelebihan padanya.

“Hassan pernah dua kali dipilih sebagai Imam Muda contoh dan keperibadiannya itu turut diambil kira untuk menjadi seorang Imam Muda yang terbaik.

“Dia suka senyum, itu adalah satu lagi kelebihan Hassan,” kata Mudir Imam Muda tersebut pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemenangannya itu, Imam Muda Hassan berkata, beliau menghadiahkan kemenangannya ini kepada ibunya dan arwah ayahnya, serta menyifatkan kemenangannya itu adalah rezeki dari Allah SWT.

Selain itu Hassan berkata, senyuman merupakan salah satu cara Rasulullah SAW berdakwah dan beliau mengambil contoh akhlak Baginda itu untuk disematkan menjadi tabiat dirinya.

“Senyuman merupakan salah satu cara Rasulullah SAW berdakwah dan pernah hanya kerana senyuman Baginda sahaja mampu menyebabkan seorang kafir memeluk Islam.

“Sebab itulah saya suka senyum,” kata Hassan pada sidang media sejurus diumumkan sebagai juara Imam Muda, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kemenangannya itu, Hassan berkata, tidak timbul mengenai soal kalah atau menang di dalam program terbitan Astro tersebut memandangkan mereka mempunyai satu matlamat iaitu memperjuangkan ruh Islam di negara ini.

Bagaimanapun, juara Imam Muda dari Perak itu belum lagi mempunyai perancangan khusus setelah program itu berakhir selain dari pulang ke kampung bertemu keluarganya dan meluangkan masa di sana.

Hassan turut membawa pulang hadiah berharga RM350,000 yang berupa tajaan biasiswa melanjutkan pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, sebuah MPV Proton Exora, wang tunai sebanyak RM55,000, pakej haji dan umrah, pakej percutian ke Vietnam, Ipad, Macbook dan banyak lagi.

Imam Muda Hassan malam ini dinobatkan sebagai juara mengalahkan pesaingnya, Imam Muda Nazrul Izwan Zolkifllee, sebagai naib juara program Imam Muda musim kedua.

Imam Muda Nazrul yang berasal dari Johor itu tidak sedikit pun kecewa dengan keputusan tersebut dan berpuas hati dengan dirinya yang mampu berada dipentas finalis program itu.

“Saya tak kecewa, malah saya berpuas hati dan bersyukur dapat berada ditahap ini,” katanya pada sidang akhbar yang sama, di sini malam ini.

Nazrul turut berjaya membawa pulang hadiah berupa tajaan biasiswa melanjutkan pelajaran dari Universiti yang sama, sebuah kereta Proton Persona, wang tunai berjumlah RM20,000, pakej umrah, pakej percutian ke Vietnam, Ipad, Macbook dan banyak lagi.



Program Imam Muda tersebut turut disertai oleh lapan lagi peserta iaitu Ali Khairudin Abdul Marif, Mohd Fakhrulrazzi Hussin, Ammar Wan Harun, Mohd Azlan Zulkarnain, Abdul Fattah Riddzwan, Mujahid Suhaimi, Zulfadli Awang dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.

Mereka turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut diberikan hadiah tajaan biasiswa di Universiti Antaraapbangsa Al-Madinah, pakej umrah, pakej percutian ke Vietnam, Ipad, kamera digital, telefon bimbit dan trofi.

Semua peserta program Imam Muda diberikan Sijil Pentauliahan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Sijil Penghargaan dari Jabatan Agama Islam Wilayah.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, beliau tidak menolak untuk meneruskan program Imam Muda memandangkan sambutan hangat yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hinggalah dewasa.

“Insyaallah, kita akan teruskan program ini berdasarkan sambutan hangat yang diterima,” katanya di majlis yang sama.

Sehingga kini, program tersebut telah berjaya mengeluarkan seramai 20 orang Imam Muda dan bercita-cita akan menghasilkan seramai 500 lagi Imam Muda dalam jangka masa sepuluh tahun

No comments:

Post a Comment