Sunday 13 November 2011

Kitab Persahabatan

Puisi Engkau Adalah Yang Termahal.

Kita bertemu di tepi dewan makan,
dan pertemuan pertama berakhir dengan pergaduhan,
kali kedua kita bersua,
dan engkau mencuit telinga.
Seakan tiada apa-apa berlaku pada waktu semalam,
dan kita terus menjadi rapat dan mesra.

Satu dalam seribu,
engkau antara yang memahamiku,
bukanlah mudah seorang baran punya sahabat,
tetapi engkau adalah yang setia di sisiku,
mendalamiku, merapatiku,
menggembirakanku, dan menyeka semua tangisku,
di sebelahmu aku tidak pernah gundah gulana,
hatta duka juga kan berubah menjadi tawa,

Engkau adalah yang termahal,
hadiah Allah yang terindah,
sudah seperti saudara dalam kandungan,
dan antara kita wujud ukhuwwah,
kalau dapat dinilai dirimu,
aku akan kata harganya adalah Syurga di akhirat itu.

Kala aku dalam gelap,
engkau adalah cahaya yang menerangkan.
Kala aku dalam terang yang teramat,
engkau adalah pelindung pemusnah kesilauan.
Tika aku dalam bahagia,
engkau adalah yang membuatkannya sempurna.

Engkau adalah yang termahal,
dan akan terus bersemi di dalam jiwa,
Biarlah di dunia punya pelbagai batasan,
harapan aku kita sentiasa bertemu bahu di syurga sana.

Bahagiamu bahagiaku,
Kita adalah dua jasad dengan jiwa nan satu,
dari kejauhan aku lancarkan doa,
agar engkau sentiasa berbahagia bersama cinta dan kasih Dia dan dia.
Didikasi khas buatmu sahabat sejatiku  NORANIZAN BINTI MOHAMMAD

No comments:

Post a Comment