Saturday 8 December 2012

Tips – 6 Petua Tangani Stress Secara Harmoni





Tenang. Damai. Aman. Tenteram & Bahagia.
Ia adalah hak milik semua insan.
Picture By Pengiran92 of LangitIalhi


Stress.
Bila sebut pun kita akan terasa tekanan dan himpitannya. Itulah penangan stress. Stress bukanlah sesuatu yang perlu dilenyapkan dan dihapuskan dalam kehidupan kita. Tetapi ia perlu ditangani dan diurus dengan bijak dan betul.
Unik dan istimewanya kehidupan ini – ia diwarnai dengan pelbagai situasi dan keadaan. Salah satunya ialah stress, tekanan dan himpitan. Cuba banyakan hidup tanpa stress?
Kita akan menjadi bosan. Sekiranya hal ini berlaku, kerja dan produktiviti kita merudum , tidak proaktif dan menurun. Namun, stress ini perlu dibawah kawalan dan tidak boleh berlebihan serta membawa mudarat.
Sebagai muslim, kita benar-benar yakin segala ujian, musibah dan cabaran itu datang daripada Allah SWT. Imanlah yang akan menjadi tonggak utama kepada penyelesaian setiap stress yang kita hadapi. Bertitik tolak daripada inilah, kita harus tangani stress secara harmoni, penuh pengharapan dan pergantungan kepada Allah SWT. Ayuh kita semak, petua-petua ini :

(1) Ubah wajah Stress secara positif
Langkah paling awal ialah mengubah paradigm kita tentang stress itu sendiri. Katakan pada diri stress itu adalah sebahagian daripada diri, jiwa dan kehidupan kita!
Nescaya, kita akan rasai sesuatu yang berbeza daripada orang lain. Minda positif dan cara pandangan yang baik akan membawa kepada cara berfikir yang mengharmonikan kehidupan ini. Sedarilah hakikat ini dengan merenungi firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan dia berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil.”
( Al-Ma’arij  70 : 19-21)

(2) Mulakan hari anda dengan AMAD!
AMAD? Macam nama orang pula? Boleh berkenalan.

A = Al-Quran
Ma = Mathurat
D = Dhuha ( Solat Sunat)
Hari yang dimulakan dengan AMAD adalah hari yang sangat tenang, bahagia dan mententeramkan. Ia berbeza dengan hari-hari yang berlalu tanpa AMAD ini. Kerana apa?
Hati, jiwa, perasaan dan sanubari kita berhubungan kuat dengan Allah SWT. Rabb yang melimpahkan segala ketenangan, cahaya dan kebahagiaan kepada manusia. Tiada hari yang lebih baik, mulia dan berharga daripada hari-hari yang jiwanya dekat dan hampir dengan Allah SWT.
Ingatkah kita dengan sabda Rasulullah SAW kepada Bilal RA yang bermaksud :

“ Wahai Bilal, tenangkan kami dengan solat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ayuh, AMADkan diri anda!

(3) Kemas, susun dan atur tempat kerja anda!

Kekadang kita stress sebab kita serabut! Pandangan mata kita diserabut dengan tempat kerja, kediaman dan suasana pejabat yang serabut.
Jadi, langkah paling praktikal ialah kemas, susun dan atur segala peralatan, kemudahan dan kerusi meja di temapat kerja kita. Kalau kita pelajar, meja belajar mesti berada dalam keadaan yang menyenangkan.
Kata boss saya : “Pastikan meja tip top!.”
Cuba lakukan, dan kemudian nyatakan perasaan anda setelah semuanya kemas, bersih, tersusun dan teratur. Kongsikan ya!

(4) Gunakan haruman yang menyegarkan
Saya pernah hadiri satu kursus pengendalian dan mengurus stress. Menariknya, salah satu cara yang diketengahkan dalam menghadapi stress adalah melalui aroma terapi bau-bauan.
Secara fitrahnya, bau yang wangi, harum dan sedap dihidu dapat memberikan ketenangan, kedamaian dan keharmonian kepada jiwa. Kerana itu juga, salah satu perkara yang dicintai oleh baginda Rasulullah SAW adalah wangi-wangian.
Saya cuba mengamalkan kaedah ini. Di bilik kerja, kediaman, kamar tidur dan di dalam kereta saya akan letakan satu wangian yang dipanggil lavender. MasyaAllah – kehidupan saya semakin nyaman dengannya.
Anda ingin cuba? Saya syorkan. Cubalah dengan wangian yang selesa dan sesuai dengan anda. InsyaAllah, itu ikhtiyar kita.

(5) Kikis dosa, bintik-bintik hitam di hati dengan TIM!
Salah satu, kesempitan dan himpitan hidup adalah akibat perbuatan dosa. Dosa akan menyebabkan kita diburu oleh perasaan bersalah dan terus bersalah. Akibatnya, stress hadir tanpa kita sedar.
Oleh itu, kikis dan buang dosa-dosa yang melekat dalam jiwa kita dengan TIM. Apa pula ini?

T = Taubat
I = Istighfar
M = Muhasabah
Kesannya? Kehidupan kita menjadi luar biasa. Hati tenang, jiwa tenteram dan nurani begitu damai. Lihatlah ahli-ahli taubat, mereka menghirup keharuman taubat di awal-awal pagi dengan solat taubat dan akhirnya terpancar ketenangan di wajah mereka yang penuh berseri.
Tidakah kita teruja untuk menjadi seperti mereka?

(6) Kurangkan Gossip dan menjadi penunggu Gossip
Akhirnya, langkah ini adalah langkah yang tersukar. Gossip, kata-mengata, menyebar fitnah atau budaya mengumpat tumbuh subur di kalangan manusia. Realitinya, ia berlaku disemua tempat, kedudukan dan masa.
Gossip adalah suatu perbuatan yang menyeronokan jiwa. Sekali terkena, kita akan ketagih. Menjaja keburukan, keaiban dan kesalahan orang lain sememangnya selari dengan kehendak hawa nafsu. Tetapi, ramai yang tidak sedar kesannya kepada keharmonian jiwa?
Kita akan bersangka-sangka buruk kepada sesiapa sahaja.
Hati kotor dan semakin hitam kerana sebar gossip adalah suatu dosa.
Gossip memang best, seronok dan mengasyikan kerana ia disukai oleh jiwa manusia yang busuk.

Kerana itu, tanda jiwa kita bermasalah dan stress – kita sukakan dosa. Dan salah satunya ialah menjaja gossip di mana-mana. Justeru, jika terasa amat-amat tension, tertekan dan sebagainya : tanyalah dalam hidup anda, adakah aku ini penggosip yang tegar?
Anda setuju?

Penutup : Hiduplah Dengan Hembusan Ketenangan
Jika dilihat balik, kita sebenarnya punyai pilihan sama ada untuk hidup dalam keadaan tertekan atau dalam keadaan yang penuh ketenangan.
Kita diberikan pilihan.
Tiada siapa pun boleh memaksa kita.
Terpaksa, dipaksa atau sebaliknya – semuanya terletak dibahu kita semua.
Kita punyai hak untuk merasai ketenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada semua manusia. Ketahuilah, ketenangan adalah hak milik semua insan!
Jadi apa lagi, sama-sama kita urus stress dengan harmoni!
——-


Sumber :  http://langitilahi.com/10825

No comments:

Post a Comment